Thursday, December 24, 2009

PMR 2009

28,188 peroleh semua A dalam PMR

24/12/2009 2:10pm

PUTRAJAYA 24 Dis. — Seramai 28,188 pelajar memperoleh semua A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah tahun ini berbanding 26,378 pada tahun lepas.

Ketika mengumumkan analisis keputusan peperiksaan itu di sini hari ini, Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata Gred Purata Nasional (GPN) pada tahun ini ialah 2.83 berbanding 2.78 tahun sebelumnya.

Beliau berkata calon luar bandar yang mendapat semua A ialah 4,775 berbanding 4,345 pada 2008 manakala 87,936 pelajar melepasi tahap minimum (A,B,C,D) berbanding 88,565 tahun sebelumnya.

"Pelajar yang mendapat semua E pula adalah 123 orang daripada 159 pada tahun lepas,” katanya.

Alimuddin berkata, prestasi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Punjabi menurun sedikit menurun.

"Peratusan berbanding tahun lepas untuk yang memperoleh semua A dalam BM menurun daripada 26.3 peratus kepada 25.6 peratus tahun ini, BI pula menurun daripada 16.4 peratus kepada 16.1,” katanya.

Terdapat peningkatan daripada 25.6 peratus kepada 26.7 peratus dalam bilangan pelajar yang memperoleh A dalam mata pelajaran Matematik manakala bagi mata pelajaran Sains ia naik daripada 17.2 peratus kepada 18.5 peratus.

Alimuddin berkata, untuk pelajar istimewa pula, daripada 134 yang mengambil peperiksaan itu tahun ini, tujuh orang mendapat Semua A.

- BERNAMA

Thursday, December 17, 2009

TAHNIAH

RENUNGAN:

UTUSAN MALAYSIA 17.12.2009.

Sokong titah Sultan Selangor:

SEAKAN senada dan seirama, begitulah senario yang boleh dikatakan bagi menggambarkan pentadbiran kerajaan negeri yang diperintah oleh pakatan tiga parti iaitu DAP, Keadilan dan Pas. Tindakan mereka juga saling mengikut antara satu dengan yang lain.Jika sebelum ini, digambarkan bahawa semua yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional adalah tidak tepat serta membazirkan wang rakyat serta pelbagai lagi tohmahan serta fitnah juga turut dilemparkan. Tetapi selepas menang tampuk pemerintahan negeri itu langsung tidak berubah atau tiada usaha pembangunan yang dibuat.Kebanyakan masa habis dengan aktiviti politik untuk mengukuhkan sokongan kepada individu tertentu dalam parti dan parti yang mereka wakili.Janji serta manifesto yang diuar-uarkan sebelum ini lenyap, tidak diketahui apakah tindakan selanjutnya daripada mereka.Oleh yang demikian, titah Tuanku Sultan Selangor bersempena hari keputeraan baginda yang ke-64 hujung minggu lalu satu perkara yang tepat dan wajar diberikan perhatian oleh semua pihak.Memetik titah baginda: "Janganlah banyak bercakap sahaja tetapi hendaklah melaksanakan perkara-perkara berfaedah kepada rakyat".''Beta percaya rakyat pada masa sekarang ini lebih selesa berbincang dan bercakap mengenai pembangunan dan kesejahteraan daripada bertelagah soal-soal politik.'' Titah Tuanku Sultan seakan menghidu sesuatu yang kurang enak sedang berlaku, kepincangan hilang kepercayaan terhadap penjawat awam negeri dan perbalahan terhadap pelbagai isu yang melibatkan portfolio Exco yang saling bersilang tugas juga harus dihentikan segera.Meskipun tidak bermastautin di Selangor, pengalaman di Pulau Pinang juga hampir sama bagi kami di sini. Pelbagai isu baik dari aspek pembangunan negeri hingga kepada isu yang remeh-temeh seakan tidak dipedulikan. Malah isu-isu ini dijadikan bahan berceramah politik yang menjelikkan bagi rakyat.Tugas utama pemimpin negeri serta barisan Exconya adalah untuk mentadbir negeri dalam merancang serta melaksanakan usaha pembangunan dalam semua bidang akan tetapi ia seakan gagal atau di kesampingkan. Agenda ceramah politik adalah lebih penting daripada tugasan hakikinya.

Oleh itu, Sekretariat Perhimpunan Melayu Pulau Pinang menjunjung kasih atas titah Tuanku Sultan Selangor dan kami menyokong penuh pandangan serta pendapat Tuanku Sultan.
Semuanya adalah ke arah menyatupadukan umat Melayu dan menyuburkan amalan demokrasi yang diamalkan sejak negara mencapai kemerdekaan.
MOHD. ZUHAILI JAMALI Setiausaha
Sekretariat Perhimpunan Melayu Pulau Pinang

(Komen blogger-Kuasa yang ada gunakanlah untuk pembangunan rakyat)

Monday, December 14, 2009

Model Inkuiri.

Sewajarnya dalam mengisi kepimpinan muda,beberapa teori boleh diketengahkan dalam menjana kepimpinan muda yang wibawa dan berpengaruh.Tanpa landasan teori-teori tertentu kewibawaan kepimpinan muda itu mungkin ada lompangnya.Terdapat pelbagai teori yang boleh disandarkan seperti teori model arahan kendiri,model pemerhatian -penilaian,model latihan,dan model inkuiri.

Oleh itu organisasi belia harus dapat menguasai atau secara asasnya mengetahui akan senario teori-teori itu.Lantaran itu kepimpinan mereka akan lebih dapat diterima oleh golongan remaja dan belia(15 tahun hingga 40 tahun)Justetu itu modul inkuiri lebih menjurus kepada penyelesaian masalah.(contohnya program makan malam perdana).

Dalam hal ini ahli organisasi akan mengenalpasti masalah yang mereka hadapi.Seterusnya mengutip,mengatur,menyusun dan menilai setiap langkah-langkah dalam menjayakan program itu.Masalah-masalah yang dihadapi dirungkaikan secara sistematik,mengamalkan konsep reflektif,pembuat keputusan dan bijak menyusun strategi.

Oleh itu matlamat akhir akan dapat dicapai dan seterusnya mendokumenkan akan hasil kerja mereka dalam menjana setiap permasalahan atau tugasan.Hal ini membawa kepada kesungguhan organisasi itu bergerak dan bertindak,ahli-ahli diberikan peluang untuk bergerak dan menyelesaikan masalah.Kepuasan ahli-ahli akan dapat dijelmakan,akhirnya akan memberikan satu pengalaman yang berharga kepada ahli-ahli dalam organisasi.

Thursday, December 10, 2009

Belada Hilang Peta.(puisi)



A.Samad Said
Balada Hilang Peta -1990

Kita perlu turun
Dari menara
Melepas capal
Berjalan kaki
Merasakan keresahan
Nafas bumi
Kita sekarang sedang
Didesak ditengah
Dendam gelegak
Sedang disiku
Dari seluruh penjuru
Sedang dihina
Kerana terlalu lama
Sengaja mengalah
Kita sedang genting
Dan sedang gering
Kita perlu marah
Sejujur hati,
Untuk bermamah
Dibumi sendiri
Kali ini
Jika kita bernyanyi
Biarlah lagu yang
Paling hakiki
Jika kita bersuara
Biarlah jujur rasa
Biarlah ketika didengar anak cucu
Mereka akan bangga
Datuk neneknya
Lelaki tang berani
Mereka akan merasa
Bermaruah ditengah
Buminya sendiri
Kita perlu bangun
Sekali ini
Bangun pertahan
Yang hakiki

Saturday, December 5, 2009

Arkib Rencana:

ARKIB : 26/11/2009(Utusan Malaysia)

Catatan nostalgia tentang GPMS

Keluarga GPMS mestilah maklum
Pesanan Aminuddin Baki masa silam
Jangan sampai itik di air mati tak minum
Jangan sampai ayam di kepok mati tak makan
CABARAN dan dugaan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) akan beralih mengikut zaman dan keadaan, tetapi nawaitu dan matlamat perjuangan tetap tak akan berubah iaitu "untuk melihat anak bangsa berada di tahap pendidikan yang tinggi." Itulah inti sari ucapan Datuk Seri Reezal Merican di atas pentas Dewan Seri Budiman kampus induk UiTM Shah Alam, pagi Sabtu minggu lalu.
Walau pun tidak disebutnya secara eksplisit, keseluruhan "ucapan dasar presiden" yang disampaikan sempena persidangan agung tahunan ke-55 itu, mengingatkan bahawa "strategi boleh (malah perlu) berubah, tetapi matlamat jangan dikompromi."
Namun di sebalik ucapan Reezal yang berkobar-kobar itu beliau tidak dapat menyembunyikan kebimbangan dan keprihatinannya terhadap pelbagai cabaran dan dugaan hebat yang dihadapi oleh GPMS dan bangsa Melayu keseluruhannya. Ini termasuklah cabaran memperkasa organisasi dan kepimpinan dan penjanaan pelbagai sumber yang diperlukan GPMS untuk mencapai matlamat.
Tetapi tidak kurang hebatnya ialah cabaran menghadapi pihak-pihak lain yang menghalang matlamat perjuangan GPMS. Secara khusus beliau menyatakan rasa kesal terhadap "suara-suara rasisme yang masih enggan menerima asas keperluan kewujudan sekolah satu aliran." Beliau juga menyebut keengganan (kedegilan dan keangkuhan?) pertubuhan Cina Dong Zhong dan Hua Zong yang menolak dan cuba hendak menggagalkan usaha Kementerian Pelajaran menyeragamkan silibus bahasa Melayu untuk semua sekolah termasuk penyeragaman soalan UPSR bahasa Melayu.
Ucapan tersebut didengar oleh lebih 400 orang keluarga GPMS yang masih menjadi pelajar atau mahasiswa dan pemimpin-pemimpin lama GPMS yang sudah bersara, termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Abdullah Ayub, salah seorang pengasas dan bekas presiden GPMS.
Sambil mendengar ucapan Reezal yang berkobar-kobar itu, dalam kepala saya terbayang wajah tokoh-tokoh tertentu dan peristiwa-peristiwa masa lalu yang ada kaitannya dengan GPMS dan perjuangan bangsa Melayu. Teringat juga satu petikan daripada ucapan mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi: "GPMS adalah satu bentuk gerakan nasionalisme Melayu di bidang pelajaran."
Ingatan kepada Tun Abdullah sebagai seorang mantan presiden GPMS diikuti oleh ingatan kepada seorang mantan presiden yang lain iaitu Allahyarham Ali Ahmad yang kemudian juga memegang jawatan tinggi dalam UMNO dan seorang menteri Kerajaan Pusat.
Seiring dengan itu teringat pula beberapa orang mantan pemimpin GPMS yang lain yang kemudian menganggotai parti-parti oposisi, seperti Dr. Syed Husin Ali dan Dr. Sanusi Osman yang pernah memegang jawatan pimpinan tertinggi Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) dan kemudian Parti Keadilan Rakyat (PKR). Begitu pula Subky Latiff dan kekandanya Allyarham Baharuddin Latiff yang pernah menjadi tokoh-tokoh utama Pas.
Saya merujuk nama-nama tokoh politik tersebut sekedar untuk memberi gambaran ringkas betapa GPMS telah melahirkan (menjadi tapak latihan berorganisasi) tokoh-tokoh pemimpin Melayu daripada pelbagai aliran politik. Kerana itu dengan berkias kita boleh mengatakan bahawa semua parti politik Melayu (baik Pas mahu pun PKR dan lebih-lebih lagi UMNO) secara langsung atau secara tidak langsung berhutang budi kepada GPMS. Dan untuk membalas budi, semua parti politik tersebut mempunyai tanggungjawab moral memastikan GPMS kekal wujud dan melaksanakan tanggungjawab secara berkesan dan produktif.
Terus terang, saya tidak dapat mengelakkan diri daripada bernostalgia bila menulis atau berbicara tentang GPMS. Dan kehadiran saya dalam perhimpunan di kampus induk UiTM Shah Alam itu menyalakan kembali api nostalgia tersebut dan seiring dengan itu saya menyedari bahawa secara langsung atau tidak langsung, saya juga banyak terhutang budi kepada organisasi yang memang banyak berjasa kepada bangsa Melayu ini.
Pertama kali saya menghadiri persidangan agung tahunan GPMS ialah pada Disember 1959 di Sekolah King George V, Seremban. Di sanalah untuk pertama kali saya menatap wajah Allahyarham Aminuddin Baki. Di sana jugalah saya berkenalan dan memulakan persahabatan dengan Abdullah Ahmad Badawi (sekarang Tun). Saya juga teringat pertama kali berkenalan dengan seorang pembaca sajak yang terkenal pada masa itu yang bernama Kalam Hamidi. Juga pertama kali bertemu dan berkenalan dengan penyair Badaruddin HO dari Brunei dan gadis Singapura yang kemudian menjadi isterinya penyair Maimoonah Omar.
Lima puluh tahun kemudian, hari Sabtu minggu lalu, 21 November 2009, saya berpeluang hadir pula persidangan agung tahunan GPMS yang ke-55 dan dapat bertemu kembali dengan beberapa orang kawan lama. Sepanjang 50 tahun masa terentang antara 1959 dan 2009 itu saya tetap merasa bahawa GPMS adalah sebahagian daripada hidup saya.
Seperti ramai yang lain, GPMS memberi saya ruang dan peluang untuk menggunakan zaman remaja dengan penuh manfaat. GPMS adalah tempat saya belajar dan bermain, tempat saya berlatih berpidato dan berbahas, tempat bermesra dengan sastera dan menghayati warisan seni, tempat saya jatuh cinta beberapa kali, tempat bermesra dan berkelahi, tempat menjalin persahabatan yang akrab dengan rakan-rakan daripada pelbagai aliran politik. Dan lebih penting lagi GPMS adalah tempat saya belajar berorganisasi dan tempat saya memupuk semangat patriotisme. Saya percaya hal yang sama dirasakan juga oleh rakan-rakan seangkatan saya, begitu juga oleh angkatan-angkatan sebelum dan sesudah saya.
Demikianlah selama lebih setengah abad, GPMS berfungsi sebagai agen sosialisasi membentuk watak, sikap dan pemikiran angkatan demi angkatan bangsa Melayu. Peranan GPMS sebagai "satu gerakan nasionalisme Melayu di bidang pendidikan" sekarang bertambah dengan peranan yang tidak kurang beratnya.
Presidennya yang baru, Jais Abdul Karim mempunyai tanggungjawab tambahan menjadikan GPMS sebagai satu NGO Melayu yang berwibawa dan bertaring. Keangkuhan dan keengkaran Dong Zhong dan Hua Zong perlu dibendung.

Datuk Dr. Firdaus Abdullah ialah Pakarunding di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya

Friday, December 4, 2009

Malas Dan Lemah ( Bahagian 1 )

Assalamualaikum w.b.t.
Zulhijjah 1430 kini semakin hampir untuk melabuhkan tirainya.Bagi setiap Muslim,bulan ini merupakan bulan yang terakhir dalam kiraan Taqwim Hijri.Ini bermakna,semakin hampir berlalunya Tahun 1430 H,dan akan masuk pula Tahun 1431 H.Sepanjang Tahun 1430H, apakah pencapaian ataupun kemajuan yang telah kita (umat Islam)capai khususnya Umat Islam di Malaysia.
Kita melihat,saban hari Umat Islam semakin terkebelakang dalam lapangan kehidupan, samada dalam kehidupan beragamanya,kehidupan bermasyarakatnya,ekonominya serta akhlaknya dan juga beberapa aspek lain.Benarlah apa yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w suatu ketika dahulu,bahawa penyakit umat terdahulu akan terkena kepada umat akhir zaman ini,bahkan yang lebih parah bilamana penyakit itu terkena kepada Umat Islam.
Ada juga teori dan pandangan menyatakan bahawa semuanya berpunca daripada tiadanya ilmu atau kurangnya penguasaan ilmu pengetahuan di kalangan Umat Islam.Tetapi disebalik penyakit tersebut ada sebenarnya penyakit lain yang membawa kepada penyakit tersebut.
Kita pernah diajar oleh Baginda Rasulullah s.a.w tentang satu doa yang berbunyi :

" Ya Allah aku berlindung kepadaMu Ya Allah daripada sifat lemah dan malas "

Kadang-kadang kita tidak mengambil berat tentang peranan doa dalam kehidupan yang mengakibatkan kita endah tak endah dengan apa yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. Kita lebih selesa dengan teori-teori Barat.Sedangkan kalau dilihat sehalus-halusnya kepada kedua-kedua penyakit tersebut,kedua-duanya datang dari dalam diri. Ini bermakna,kedua-dua penyakit ini adalah penyakit rohani yang mana bila terkena kepada seseorang,perintah dan suruhlah dibuat apapun,dia tidak akan melakukan perkara tersebut dan dilakukan pun,bagai melepas batok di tangga.
Tetapi persoalannya,mengapa Rasulullah s.a.w mengajarkan doa ini kepada kita khususnya Umat Islam?Pada hari ini,kita telah pun nampak rahsia dan hikmah di sebalik doa Rasulullah s.a.w ini,kerana kedua-dua penyakit ini lebih banyak terkena Umat Islam yang menyebabkan terjadi banyak kerosakan dan ketinggalan dalam lapangan kehidupan.
Kerana malaslah,pada hari ini masjid kosong,kerana malaslah,murid dan pelajar sekolah tidak ke sekolah/kalau ke sekolah bukan untuk tujuan belajar,kerana malaslah,Umat Islam tidak mahu berfikir panjang,hinggakan tertipu dek pelbagai janji palsu musuh dan juga rakan sejawat ataupun sesiapa sahaja,kerana malasdan lemahlah,pelbagai krisis terkena kepada Umat Islam,dadah,hutang,perempuan dan banyak lagi datangnya dari penyakit malas dan lemah.
Timbul persoalan,adakah orang kafir itu membaca doa Rasulullah s.a.w yang mana sifat malas ini tidak terkena kepada mereka?Jawapannya tidak!!!Mereka tidak membaca tetapi mereka mengkaji segala pesanan-pesanan ini yang membawa kepada pencarian kaedah bagaimana cara untuk mengelak diri dari terkena penyakit ini.Itu sebabnya,kalau anak Cina malas belajar,disuruhnya kerja atau apa jua perbuatan yang boleh membawa kepada perbuatan tidak membuang masa.Tidak dinafikan,memang ada sebahagian dari mereka yang terkena penyakit ini,telah dikatakan sebelum ini,penyakit ini akan terkena kepada semua,cuma yang paling ramai ialah masyarakat Islam itu sendiri.Dimanakah silapnya? Fikir-fikirkanlah...

Biro Dakwah GPMS Sitiawan

Menjelang Ramadan Ini Doa untuk Palestin.

 Menjelang Ramadan 2024, Doakan saudara-saudara di Palestin dalam rahmat-Nya, Aku hanya insan lemah-hanya doa yang kutitipkan. Palestin Teta...