Wednesday, December 29, 2021

Emosi murid -murid itu?

Kejadian banjir di Selangor baru-baru ini.

-Bagaimanakah emosi murid-murid itu?


Secara umum,para pembaca tentu lebih maklum akan bencana banjir yang berlaku di beberapa kawasan di negara kita baru-baru ini.Fenomena alam ini telah menyebabkan ramai murid yang terkesan.
  Namun setakat manakah terkesannya emosi murid-murid itu,perlulah dipastikan agar menjelang pembukaan sekolah nanti murid-murid itu dapat belajar dengan baik .

    Sehubungan itu juga,tibalah masanya pada masa akan datang pihak sekolah wajar memberikan motivasi kepada setiap murid bagaimana berhadapan dengan bencana alam.Murid-murid wajar didedahkan langkah-langkah untuk mengawal emosi dan berhadapan dengan situasi tersebut.

     Sesungguhnya berat mata memandang,berat lagi bahu memikul,oleh itu marilah kita berdoa agar Malaysia tetap sejahtera dan dalam  rahmat-Nya.

   

 

Wednesday, December 22, 2021

Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Belia Daerah Manjung 2020/2022


                        -YB Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir,Adun Pangkor ketika 
                          ucapan perasmian-


             -Saudara Mohd Khairolazuan Bin Ariffin Pengerusi Majlis Belia Daerah Manjung,
                         sewaktu ucapan alu-aluan.

-Syabas kepada ahli jawatankuasa Majlis Belia Daerah Manjung Sesi 2020/2022.-

Catatan blogger:
1.Terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa Majlis Belia Daerah Manjung sesi 2018/2020,jasa  dan bakti anda akan menjadi coretan sejarah gerakan belia di daerah Manjung.

2.Dalam ucapan perasmian ,YB Datuk Seri Dr.Zambry Abd. Kadir telah menyatakan  bahawa belia itu aset negara dan wajar diberikan ruang dan peluang dalam membangunkan negara pada masa akan datang.

3.Diharapkan Ahli Jawatankuasa Majlis Belia Daerah Manjung sesi 2020/2022 dapat meneruskan bakti dan komitmen dalam membela nasib belia di daerah Manjung.Selamat bertugas kepada  saudara Muhammad Anwar Azwan Bin Ali Basri,Pengerusi MBD Manjung, saudara Ahmad Abrar bin Kamaruddin,Naib Pengerusi 1 , saudara Pravin a/l Somosodran,Naib Pengerusi 2 dan barisan ahli jawatankuasa MBD Manjung.

Tuesday, December 14, 2021

Kejadian Buli ?

 Baru-baru ini negara dikejutkan dengan kejadian buli di sebuah MRSM,kejadian ini sekali lagi mengejutkan pihak-pihak tertentu.

       Kejadian buli, mengapa ianya masih berlaku,persoalan itu terus dibangkitkan,dan akhirnya KPM telah mengambil usaha untuk memperkenalkan satu pendekatan baharu iaitu 'Sekolahku Sejahtera.'

      Pun begitu dalam hal ini,pihak sekolah dan ibu bapa wajarlah mempunyai rasa kepunyaan dalam memastikan gejala buli ini tidak  berlaku di sekolah,terutamanya di sekolah berasrama.

      Tindakan awal,sudah tentu dapat memastikan kejadian buli ini tidak berlaku.Namun akhirnya blogger bersetuju,jika berlaku juga,amat wajar tindakan tegas dikenakan kepada pelajar yang terbabit.Pelajar yang terbabit wajar diberikan terapi oleh guru kaunseling atau pakar psikologi.

      Masyarakat sudah tidak sepatutnya  berfikiran bahawa masalah buli ini hanyalah tugas guru disiplin sahaja,walaupun tugas mengawasi disiplin di sekolah adalah tanggungjawab semua guru,namun kekadang kemungkinan berlaku terlepas pandang akan tanda-tanda yang boleh menimbulkan gejala buli.

       Oleh itu pihak sekolah wajar memberikan ruang kepada pihak komuniti setempat seperti pihak PIBG,Majlis Belia Daerah,badan-badan bukan kerajaan dan agensi kerajaan untuk mengambil bahgaian dalam membantu mengatasi masalah buli di sekolah.

       Hal ini dapat memberikan ruang kepada setiap murid dalam memahami akan hakikat kesejahteraan belajar di sekolah dan juga tinggal di asrama.

        Walaupun kejadian buli ini mungkin menimbulkan rasa bimbang di kalangan ibu bapa yang berhasrat menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah berasrama,namun usaha yang dilakukan oleh pihak sekolah,MRSM  dan KPM akan mampu memberikan mereka keyakinan bahawa anak-anak mereka selamat belajar di sekolah berasrama.

Saturday, December 11, 2021

Menikmati Cendol Warung Pak Ali di Lumut Kiri Manjung,Perak.

                                            Cendol dan pasembur antara juadah yang terdapat di Warung Pak Ali.
                                             Menu dipaparkan melalui tulisan Jawi


Mengikut  paparan yang terpampang di Warung Pak Ali ,warung ini memang dikenali sejak tahun 2002 lagi.Lokasinya yang dalam naungan pepohon kelapa sawit,mewujudkan suasana yang tenang sambil menikmati juadah yang disediakan.

           Warung Pak  Ali memang sudah lama dikenali,lebih-lebih lagi oleh warga daerah Manjung.Warung ini terletak berhampiran dengan bangunan Perumahan Penjawat Awam  Amanjaya,Lumut Kiri,Manjung.

             
 

Wednesday, December 8, 2021

Manfaatkan cuti sekolah dengan membaca?


                                   -antara bahan bacaan yang sesuai dibaca ketika cuti sekolah-


Cuti akhir tahun akan  menjelang tiba,ketibaan cuti ini kebiasaannya akan menggembirakan hati setiap murid sekolah kerana  dapat merehatkan minda setelah  belajar sama ada secara bersemuka atau dalam talian.

      Masa cuti inilah yang amat sesuai untuk menziarahi keluarga di kampung  dan melancong.Oleh itu membaca juga boleh dijadikan sebagai satu aktiviti yang menarik dalam mengisi jadual cuti akhir tahun ini.

     Ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka ke perpustakaan awam.Di perpustakaan awam terdapat banyak buku cerita fiksyen dan bukan fiksyen yang boleh menjadi pilihan untuk dibaca.Di samping itu juga sesetengah perpustakaan awam terdapat majalah-majalah yang amat bermanfaat kepada murid-murid sekolah.Bahkan mereka juga boleh membaca surat khabar.

      Sehubungan itu ada juga perpustakaan yang menyediakan Wi-Fi,untuk memudahkan pengunjung perpustakaan melayari  Internet.

       Sesungguhnya membaca itu menambah ilmu.Selamat bercuti.

Wednesday, December 1, 2021

Anda Remaja yang Suka Membaca ?

 


Anda remaja yang suka membaca ? Majalah di atas ialah salah satu contoh bahan yang boleh para remaja membacanya.Membaca majalah Tunas Cipta memberikan kita meneliti idea-idea yang tersemat di minda fikir orang muda.
        


Thursday, November 11, 2021

Aliran Pemikiran Semasa :Sebuah Buku yang Patut Dimiliki oleh Anda.


-Sebuah  buku yang patut dibaca,agar anda dapat memahami apakah itu ajaran Syiah, Islam Liberal      
dan lain-lain lagi.


*Buku ini blogger membelinya pada 11 November 2021,ketika satu ceramah berkenaan  Aliran  Pemikiran Semasa yang disampaikan oleh Datuk Haji Zamri  bin Hashim ,Timbalan Mufti Negeri Perak di Masjid An-Nasriyah,Sitiawan.              

 

Friday, November 5, 2021

Syabas Encik Azman Bin Abdul Wahid.

 


Syabas dan tahniah diucapkan kepada Encik Azman Bin Abdul Wahid kerana terpilih  menerima Anugerah Nordin Kardi(Khidmat Cemerlang) daripada Gpms Perak.Majlis itu telah disempurnakan oleh Encik Mohamad Akhir B, Abdul Latif,Pegawai Pendidikan Daerah Manjung yang telah mewakili YB Dato' Seri Diraja Dr.Zambry Bin Abdul Kadir,Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Pangkor.Majlis itu diadakan sempena perasmian  Mesyuarat Agung Tahunan Gpms Perak 2021.

        Di samping itu terdapat dua lagi anugerah yang juga telah disampaikan pada majlis itu ,Anugerah  Hasnul Fairuz(Kepimpinan) dan Anugerah Hj. Zainal Abidin Md. Nor.(Cawangan Terbaik).

        

Monday, November 1, 2021

Mesyuarat Agung Gpms Cawangan Sitiawan dalam Kebiasaan Baharu 2021.

 Kebiasaan baharu memerlukan  setiap organisasi bertindak mengikut situasi terkini.Organisasi belia seperti Gpms tercakup dalam berhadapan dengan kebiasaan baharu ini.

     Melaksanakan sidang mesyuarat dalam kebiasaan baharu memang ada perbezaannya.Antaranya ialah aspek teknikal .

    Syabas kepada Gpms Cawangan Sitiawan yang telah dapat melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan 2021 pada 30 Oktober 2021 yang lalu.


                                                              -aspek teknikal menguruskan paparan google meet-

                                             -projektor LCD yang banyak berjasa-                                                              
        Syabas dan selamat bertugas kepada barisan jawatankuasa Gpms Cawangan Sitiawan yang telah dipilih dalam mesyuarat agung tempoh hari.


Saturday, October 30, 2021

Anda Berminat Sukan Elektronik.


 Rajah itu membuktikan bahawa e-sukan semakin begitu penting di  negara ini.Lantaran itu adakah anda a meminati dunia e-sukan.Tentu anda pernah melihat sukan dron ?

       Oleh itu adakah  pertubuhan belia di tempat anda mempromosi tentang e-sukan.Bagaimanankah untuk mencipta jaguh e-sukan?


        Tentu Majlis Belia Daerah atau Gpms Cawangan anda lebih arif mengenai e-sukan.

Friday, October 22, 2021

Pernahkah Anak Anda Melihat Bulan Dipagari Bintang?


 Anda tentu tahu bilakah manusia pertama sampai ke bulan?Oleh itu sebagai ibu bapa,sudah tentu anda pernah bercerita tentang bulan kepada anak-anak anda.Bahkan anak anda sudah memahami apa itu bulan purnama.

     Para nelayan sudah semestinya bijak menghitung fasa bulan,kerana dikatakan banyak atau sedikitnya ikan atau sotong itu berkaitan dengan bulan.Jika anak anda bertanya,benarkah manusia pernah menjejaki ke bulan,apakah jawapan anda sebagai i bu bapa?

    

Saturday, October 16, 2021

Salam Maulidur Rasul 1443H

 Pada kesempatan ini,blogger mengucapkan selamat menyambut Maulidur Rasul tahun 1443H,yakni pada 12 Rabiulawal yang jatuh pada  19 Oktober 2021.


    Oleh itu amat wajarlah kita berselawat ke atas baginda Rasulullah SAW. Bahkan elok juga kita mengenang akan kisah dan peristiwa kelahiran Nabi Muhammad SAW.

     Kisah-kisah itu boleh dijadikan teladan kepada anak-anak kita dan juga golongan muda.Cuti umum yang diberikan sempena sambutan Maulidur Rasul molek diisikan dengan program selawat dan membaca sirah kelahiran Nabi Muhammad SAW..

                                                       Sollallahu ala Muhammad                                                                                              Selawat Allah ke atas Muhammad          

Sollallahu alaihi wasallam
Selawat salam dipohon lagi

                                                   Sollallahu ala Muhammad                                                                                              Selawat Allah ke atas Muhammad          

Sollallahu alaihi wasallam
Selawat salam dipohon lagi

Monday, October 4, 2021

Selamat ke Sekolah dalam Suasana Endemik.

 


                                -Pelitup muka antara yang terpenting pada situasi endemik-

Selamat kembali  ke sekolah,selamat kembali belajar secara bersemuka.Pada situasi endemik ini,sudah semestinya pematuhan kepada SOP menjadi  teras utama dalam meneruskan sesi pengajaran dan  pembelajaran.

         Ibu bapa dan penjaga,sewajarnya memberikan bimbingan kepada anak masing-masing agar mematuhi dan mengikuti nasihat para guru.Bahkan interaksi erat antara pihak ibu bapa penjaga dan pihak sekolah mampu memberikan keyakinan agar sesi persekolahan  bersemuka kebiasaan baharu  ini dapat dilaksanalan dengan lancar.


          Selamat kembali ke sekolah.

Friday, September 24, 2021

Lestarikan Sungai Kita.

 Khutbah Jumaat di Masjid Al - Khairiah Kg, Sitiawan,kupasan isinya berkaitan tentang melestarikan sungai.Umum mengetahui betapa penting menjaga kebersihan dan keindahan sungai.Sungai adalah sumber rezeki bagi para nelayan,hobi kepada kaki pancing dan lebih-lebih lagi sungai boleh menjadi daya tarikan kepada para pelancong.

      Pepohon bakau dan spesies  hidupan sungai tentu akan riang gembira sekiranya sungai itu bersih dan indah.Sang spesies akan dapat hidup dan terus membiak.

      Bagaimanakah suasana sungai di tempat anda,tentu anda boleh berkongsi di facebook,atau di mana-mana ruangan maya.Cintailah sungai kita.






Sungai di Kampung Sitiawan,kelihatan masih terjaga dan kian popular kepada kaki pancing.Aliran sungainya akan membawa kaki pancing terus menyusuri Selat Dinding.Ketika dahulu ada sebatang jambatan di situ,untuk menghubungkan Kampung Deralik dengan Kampung Sitiawan.

            Sejak dahulu sungai ini berbakti sebagai sumber  rezeki.Amat tepat sekali,isi khutbah Jumaat menyarankan agar kita menjaga kebersihan sungai.


   

 

Monday, September 20, 2021

Bacaan Yasin untuk Saudara Ujang yang Terkena Jangkitan Covid-19.

 



Bacaan Yasin untuk saudara Ahmad Erne Razian Bin Mohamed Nor Sani @ujang@ahchong.
Didoakan agar beliau di dalam rahmat-Nya.


Saturday, September 11, 2021

Manfaatkan Waktu Cuti Sekolah.

Setelah belajar melalui PdPR kini tibalah masa sekolah bercuti,walaupun tidak lama,namun ianya sudah cukup untuk memberikan masa rehat yang secukupnya,bayangkan saban hari menghadap skrin,sama ada skrin komputer atau telefon bimbit.

     Oleh itu,wajarlah dimanfaatkan masa cuti ini dengan rutin yang berfaedah,contohnya melahirkan rasa patriotik sempena sambutan  Hari Malaysia pada 16 September nanti.Aktiviti mengulang kaji pelajaran juga wajar diteruskan.

     Memandangkan ketika ini masih lagi dalam situasi wabak Covid-19,sudah pasti kita tidak dapat bercuti ke mana-mana pun,kecuali yang telah terkandung  dalam SOP.Namun jika rindu akan nenek di kampung,eloklah berinteraksi dengan saudaa mara di  kampung melalui talian maya.

     Marilah kita berdoa agar sekolah akan dapat dibuka dan belajar secara bersemuka pada masa yang mendatang ini.

Saturday, September 4, 2021

Belajar dalam fasa Endemik Covid-19.

 Umum telah pun mengetahui belajar secara bersemuka akan bermula pada 3 Oktober 2021.Oleh itu   amat penting bagi setiap  murid  menghayati  akan setiap SOP yang digariskan oleh pihak berwajib.

      Oleh itu,para ibu bapa wajar memastikan pematuhan Sop itu akan dapat diikuti,kelompongan mana-mana Sop boleh membawa risiko kepada sekolah dan juga murid.

     Kini tiabalah masanya warga Malaysia menikmati kehidupan  era endemik Covid-19.Selamat kembali  ke sekolah dan belajar secara bersemuka.



Memakai Pelitup Muka antara sop yang perlu dipatuhi


Sunday, August 29, 2021

Selepas Stpm ?


 Kini sudah pasti pelajar lepasan Stpm telah pun memilih sama ada untuk meneruskan pengajian di menara gading,atau bekerja.Pilihan itu di tangan anda dan mungkin juga satu pilihan antara perbincangan dengan ibu bapa ,keluarga,rakan-rakan atau pihak sekolah.

        Lantaran itu,sudah sewajarnya keputusan yang telah dibuat itu akan membantu anda untuk mencipta sebuah cita-cita atau impian.Dunia berubah begitu pantas,ilmu yang ada hari ini,mungkin sudah lapuk pada esok hari.

        Secara hitungan yang mudah,manusia tetap akan mencari makanan untuk hidup,oleh itu sudah pastilah kerjaya menjadi seorang pekebun sayur mempunyai masa depan yang cerah,namun di menara gading manakah yang menawarkan kursus untuk menjadi seorang pekebun sayur.Wajarkah  untuk menjadi seorang pekebun sayur itu menuntut ilmu di menara gading.Anda wajar menghitung bahawa anda berada pada tahun 2021,cuba  anda fikirkan  adakah situasi pekebun sayur tahun 2021 serupa dengan situasi pekebun sayur tahun 1975?


          Sehubungan itu juga,sudah pasti anda berkeinginan mendapat pendapatan bulanan yang lumayan apabila anda bekerja kelak.Oleh itu anda fikirkanlah adakah anda menuntut  di menara gading ini akan menjamin anda mendapat pendapatan  bulanan  yang lumayan?

          Keputusan di tangan anda.

Saturday, August 21, 2021

Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Tahun 2021

 



Sungai Dinding luas muaranya,

 Bukit Engku Busu berdiri megah;

 Sejarah Malaysia usah dilupa;

 Beratus tahun kita dijajah.


   Bukit Teluk Kopiah di Segari,

      Perjanjian Pangkor Kota Belanda;

      Bersatu teguh  hidup disepakati;

      Hidup merdeka kekal selamanya.

 


Friday, August 13, 2021

Menanti Juraian Meteor Perseids 2021 di langit .

 Menjelang jam 11.00 saya memerhati langit,memandang bintang,namun cahaya lampu jalan menggangu intaian juraian yang mungkin berlaku.Memang tidak pernah memandang bintang dan langit pada waktu malam sebegini,merenung dengan penuh teliti.

        Namun hasilnya tidak kunjung tiba,tiada nampak apa-apa pun,hanya kerlipan   bintang yang  kelihatan.Lantaran itu terus mengikut Juraian Meteor di Youtube Dark Sky Malaysia.Memang banyak input yang dikisahkan di dalam paparan Youtube itu.Dark Sky  Malaysia telah memberikan saya sedikit input termasuklah kepada semua pelayar yang melayari Youtube Dark Sky Malaysia,Kepada yang dapat mengikuti soalan kuiz,sudah tentu lebih teruja.

         Kini sudah membawa kepada hampir jam 3.00 pagi,celoteh di Youtube sudah pun berakhir,namun paparan cerapan juraian meteor tetap diteruskan.Apabila terjaga jam sudah pun pukul 5.17 pagi,teringat bual bicara pihak Dark Sky di Youtube,juraian meteor mungkin dapat dilihat hingga jam 6.00 pagi,bergegas ke luar rumah,Kagum dengan ciptaan-Nya,langit di atas bumbung rumah terbentang luas bintang-bintang.Menunggu dan menanti,lebih kurang hampir 17 minit,akhirnya,bersyukur diberikan ruang oleh-Nya ,dapat juga melihat sepintas lalu juraian  seperti garisan tompoh putih di langit.

         Terima kasih, kepada pihak Dark Sky Malaysia,input di Youtube memang sungguh bermakna.

Monday, August 9, 2021

Salam Maal Hijrah 1443H/2021M

 Salam Maal Hijrah 1443H.Secara tuntas kedatangan Maal Hijrah ini kita sambut dengan meneruskan keupayaan dalam kehidupan kebiasaan baharu.Didoakan agar wabak Covid-19 ini akan beransur pulih.

            Pun begitu,sudah semestinya kita wajar mematuhi cara hidup kebiasaan baharu.Kita jaga kita dan bertawakallah.Selamat Menyambut Maal Hijrah  1443H./2021M.

Wednesday, August 4, 2021

Adakah Anak Anda Berfikiran Secara Inovatif.


 Adakah anak anda boleh berfikir secara inovatif.Ibu bapa wajar menyedari  bahawa ketika belajar di sekolah,anak anda akan dibimbing untuk berfikir secara inovatif.Justeru itu ,apabila  berada di rumah ,ibu bapa pula  boleh membimbing anak masing-masing berfikir secara inovatif.


                      Lantaran itu  para ibu bapa pasti memahami akan maksud pemikiran inovatif.Ketika sesi PdPR pun pemikiran inovatif ini dijana sama ada secara dalam talian atau luar talian.

                       Kerjasama yang erat antara pihak sekolah dan para ibu bapa dalam memastikan setiap murid mencapai dan menguasai pemikiran inovatif amatlah disanjung tinggi.


                      

Saturday, July 24, 2021

Bila Bersemuka Belajar?

 Secara umum semua pihak menyedari ketika ini setiap murid menimba ilmu melalui PdPR.Oleh itu juga,sesi secara bersemuka akan bermula secara berperingkat  mulai 1 September 2021.

     Namun,para ibu bapa dan murid wajar menanti dengan penuh sabar akan makluman yang seterusnya.Pada era kebiasaan baharu ini,setiap ibu bapa dan murid sepatutnya sudah menghadami situasi dunia pembelajaran dan pengajaran ketika ini.

     Yang penting setiap murid wajar terus berminat untuk belajar,jika ini dapat dikekalkan,proses PdP  sama ada secara bersemuka atau PdPR akan dapat memberikan kesan yang baik kepada setiap murid.Tetapi jika daya minat murid telah pudar,sudah tentu akan menimbulkan masalah.

      Juteru itu ibu bapa wajar memastikan minat anak mereka untuk belajar tetap tinggi,jika ada masalah,wajarlah berbincang dengan pihak sekolah.

      Bahkan guru bimbingan dan kaunseling dapat memberikan  bimbingan dan penerokaan belajar dalam kabiasaan baharu.Setiap murid wajar berbincang dengan guru bimbingan dan kaunseling sekolah masing-masing seandainya mereka mengalami masalah.

      Marilah kita berdoa agar sesi belajar  secara bersemuka akan dapat diadakan pada September ini.

     

Saturday, July 10, 2021

Syair Zulhijah 1442H/2021

 Bulan Zulhijah datang menjelma,

Ibadah haji di bumi tercinta,

Wajah Kaabah terbayang di mata,

Rindu di hati tiada terkira.


Nabi Ibrahim teladan semua,

Peristiwa korban pedoman kita,

Doa diangkat sungguh sekata

Kepada-Nya mohon segala.


Masa kini Covid-19 melanda,

Barisan Hadapan siap siaga,

Ibu bapa berkorban segala,

Pendidikan anak tidak dialpa.


Bulan Zulhijah bulan mulia,

Amal ibadah teruskan jua,

Tabahkan hati kuatkan jiwa,

Tawakal kita kepada-Nya



*Salam Zulhijah daripada BBBGPMS SITIAWAN.



Tuesday, July 6, 2021

Bakti Ayah dan Ibu pada ketika wabak Covid-19.

 



Pada ketika wabak Covid-19 ini,masyarakat umum sudah pun menyedari akan persekolahan anak-anak mereka diadakan secara maya.PdPR diadakan agar murid-murid  terus menerima ilmu.

       Justeru itu pastinya ibu bapa  murid-murid itu,perlu menyediakan peranti kepada anak-anak mereka,termasuklah data Internet.

       Lantaran itu setiap murid wajar berterima kasih kepada ibu bapa mereka yang sedaya upaya menyediakan perkakasan belajar mereka ketika PdPR.Bakti ibu bapa itu amat besar nilainya.

        Umum juga menyedari dan insaf betapa sukar dan jerihnya  setiap ibu bapa dalam  menyediakan peranti  untuk anak-anak mereka.Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.

         Sewajarnya setiap murid berterima kasih kepada ayah dan ibu masing-masing.Bersyukurlah.

Monday, June 28, 2021

Murid Tahun 6 dan PdPR 2021?


 


Apa khabar murid Tahun 6,diharapkan sihat sejahtera.Bagaimanakah perasaan kamu  ketika ini?Apakah perasaan kamu belajar secara PdPR?


        Sesungguhnya suka atau tidak suka kamu  sebagai murid  Tahun  6 2021,perlu belajar  melalui proses pembelajaran secara PdPR.Bahkan sesi kokurikulum  pun boleh dilaksanakan melalui PdPR,yakni secara  dalam talian atau luar talian.


         Adakah kamu  mempunyai masalah belajar secara 'online;jika kamu mempunyai masalah, kamu sepatutnya memberitahu guru kamu ,bahkan boleh berbincang dengan kaunselor di sekolah kamu.


         Rumusannya kamu perlu gigih dan tabah dalam berhadapan dengan situasi kebiasaan baharu ini,berbincanglah dengan pihak sekolah jika kamu mempunyai masalah.Sesungguhnya pilihan di tangan kamu.

Sunday, June 20, 2021

Sebuah Coretan pena daripada Dr.Chubby Comot

 Berikut dikongsikan sebuah kiriman cerpen yang mengisahkan pengalaman penulis dalam mengikuti kursus yang dilaksanakan oleh Gpms Perak.Tentu Tuan Tam ingat akan  penulis ini,cuma saya tidak dapat mencari satu foto sewaktu berkayak dalam program Rentas Selat  Dinding 1.

     Namun dalam perkongsian ini penulis menyatakan tentang Lata Kekabu,tentu ada yang masih ingat tentang program di Lata Kekabu.Terima kasih kepada penulis kerana sudi berkongsi coretan  untuk tatapan para pembaca.


                                                       -foto penulis-


“Saya bilang dalam kiraan sepuluh, semua peserta perlu berada di tempat perhimpunan dengan lengkap berpakaian sukan”

 

10...

 

9..

 

8..

 

7..

 

Keletap keletuppp!!

 

Bertempiaran bunyi tapak kaki peserta kursus berlari menuju tempat berhimpun, semua berharap sempat berhimpun dalam kiraan komander kursus perkaderan GPMS sekitar tahun 1999 di Institut Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Kg Rahmat Batu Gajah Perak.

 

GPMS bukanlah gagasan asing dalam hidup aku, kerana mama aku juga pernah melalui PENGKADERAN GPMS di Universiti Malaya sekitar tahun 1978.

 

Terngiang-ngiang kata-kata mama semasa menghantar aku mendaftar di Universiti Malaya untuk pengajian Sarjana Muda Pembedahan Pergigian.

 

“Pertama kali mama jejakkan kaki di UM ini semasa mama dapat ikut Kursus Pengkaderan GPMS, mama berkesempatan jumpa dengan NORDIN KARDI, mama juga menyanyikan lagu, Anak Kecil Main Api.”

 

Begitulah.

 

Lain benar gaya penyampaian komander kali ini, berat pula provokasi yang dilontarkan.

 

Dentum kata hati aku.

 

Sejak aku menghadiri KURSUS JATI DIRI di Lata Kekabu anjuran GPMS Negeri Perak semasa cuti sekolah, ketika aku di tingkatan 4, aku seolah-olah mengikatkan diri menjadi KADER pada setiap hujung minggu disitu bersama aktiviti sukarelawan untuk seminar peperiksaan percuma yang bermisikan PENDIDIKAN.

 

“Anak-anak melayu ini pemalas, tak sedar diri. Hanya mengharapkan duit subsidi. Anak melayu tak ada masa depan.” Komander terus memprovokasikan kami semua.

 

Ewah!! Lebih sangat dah komander ini, apa dia ingat kami anak melayu tak ada perasaan.

 

Dalam ketaksetujuan aku bangun dan aku angkat tangan sambil aku jerit.

 

“Bantahan!!!”

 

“Saya tak setuju.”

 

“Awak siapa nak degil lawan cakap saya, awak bangun pergi hujung sana sekarang.” Arah komander dan aku akur.

 

Provokasi demi provokasi diteruskan hingga selesai. Kewajaran demi kewajaran didedahkan supaya difahami nilai dari perhimpunan provokasi itu tadi.

 

Maka aku simpulkan bahawa anak melayu zaman dahulu terlalu tebal rasa hormat mereka.

 

Jika diperhatikan, ada kebenarannya. Remaja dahulu diasuh dan dididik dengan sifat sopan santun yang sangat tinggi. Ini termasuklah dari sudut penggunaan bahasa yang keluar dari mulut mereka.

 

Hendak dibandingkan dengan remaja sekarang, penggunaan bahasa tidak dijaga dengan baik. Bahkan, ada yang berani mengeluarkan kata-kata kesat kepada orang yang lebih tua dari mereka. Bercakap dengan mereka yang lebih berumur seperti rakan-rakan dan tiada sopan santunnya.

 

Berbanding pelajar zaman dahulu, mereka lebih berasa kepayahan untuk menimba ilmu. Dengan keadaan yang serba kekurangan itulah mereka berusaha sedaya upaya, mengerah akal fikiran, memperbanyakkan bahan bacaan, dan ada yang perlu berjalan kaki atau menaiki basikal semata-mata untuk menyiapkan suatu tugasan.

 

Begitulah antara beberapa perbezaan yang ketara antara remaja dahulu dan sekarang. Sungguhpun begitu, segalanya bergantung kepada remaja itu sendiri dalam membawa hala tuju dan diri mereka.

 

Semakin moden zaman itu, maka semakin mencabarlah kehidupan yang dilalui. Justeru itu, peredaran zaman tersebut seharusnya diambil sebagai suatu peluang dan dimanfaatkan untuk tujuan kebaikan.

 

“Dunia ini hanya terdiri atas tiga hari, iaitu kelmarin, ia telah pergi bersama dengan semua yang menyertainya. Esok, engkau mungkin tidak akan menemuinya. Dan, hari ini itulah apa yang engkau miliki.

 

Oleh itu, beramallah untuk bekalan di sana nanti.”

 

Belajar terus belajar.

 

Walahualam.

 

      Dr .Chubby Comot—


Saturday, June 19, 2021

Coretan Anda Berbakti di Institut Gpms Perak?

 Salam sejahtera,jika anda ada coretan pengalaman sewaktu berbakti di Institut Gpms Perak,boleh kongsikan di sini,dengan menghantar coretan anda itu  ke e-mel berikut,kisockamal@gmail.com,

   Coretan anda boleh berbentuk foto,penceritaan,atau pun ilmiah.


                                                     -Foto atas,seingat saya itu gambar Tuan Angah dan Tuan Ujang,
                                              -Tanda nama urus setia pada ketika itu-


Oleh itu,anda boleh kongsikan kisah dan pengalaman anda sebagai gurkha,bbb dan ahli Gpms.



Sunday, June 13, 2021

Syabas Pelajar SPM 2020.


 


Keputusan SPM 2020 telah pun diumumkan dan setiap calon sudah mengetahui keputusan serta pencapaian masing-masing.Umum telah memahami anda ialah  calon-calon SPM yang menduduki SPM dalam keadaan kebiasaan baharu.Berat mata memandang,berat lagi bahu memikul,


          Kini  anda sebagai calon SPM akan membuat beberapa pilihan,pilihan itu di tangan anda.Bahkan anda juga boleh berbincang dengan ibu bapa,keluarga,rakan taulan,saudara mara dan guru dalam  memilih perjalanan anda selepas ini.Apakah anda akan menyambung pengajian anda,jika ya,di mana?

Atau anda mahu terus bekerja dan membantu keluarga.Semua itu di tangan anda,anda yang akan memilih dan menentukan keputusan itu.

   

      

Thursday, June 3, 2021

Menggapai Hasrat Dasar Pendidikan Kebangsaan ?


 Kini umum menginsafi bahawa  setiap murid menerima pendidikan sama ada secara bersemuka atau pun melalui PdPR.

   Justeru itu amatlah wajar setiap anggota masyarakat memahami akan hakikat hasrat Dasar Pendidikan  Kebangsaan, bahkan sekali sekala  merenung kembali akan  Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

     Dalam situasi kebiasaan baharu ini,sudah sewajarnya pihak sekolah,ibu bapa,penjaga,komuniti setempat dan agensi swasta serta badan-badan bukan kerajaan membantu dalam memastikan setiap murid mendapat pendidikan yang sewajarnya, walaupun dalam kebiasaan baharu.

     Kerjasama erat ini amat penting dalam memastikan setiap murid mendapat pendidikan yang adil , sama ada secara bersemuka atau PdPR.

     


   

Sunday, May 23, 2021

Palestin Tetap Menang.


 Kekejaman tentera  rejim Zionis membunuh warga Palestin yang tidak berdosa.Pastikan anda  mendidik generasi anda agar membela nasib rakyat  Palestin.

Saturday, May 8, 2021

Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Selamat Hari Guru 2021

 

Kini Ramadan telah hampir sampai ke penghujungnya.Diharapkan Ramadan kali ini membawa erti yang lebih bermakna kepada anda semua.

         Begitu adanya   perayaan Aidilfitri dan Hari Guru jatuh pada bulan Mei tahun 2021.Sehubungan itu juga,kita akan meraikannya berlandaskan SOP yang ditetapkan oleh pihak berwajib.

         Marilah kita berdoa agar  wabak  Covid-19 akan dapat diatasi,dan kita dapat menikmati kehidupan seperti sedia kala.

          Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri,maaf dipinta,dan Selamat Hari Guru,terima kasih atas setiap bakti yang para guru curahkan.


Saturday, May 1, 2021

Selamat Tinggal Upsr.

 

Sudah semestinya pihak ibu bapa dan penjaga murid Tahun 6,amat gembira dengan keputusan pemansuhan UPSR.Berita ini amat menceriakan murid-murid Tahun 6 dan pihak ibu bapa dan penjaga.

      Kini pencapaian murid Tahun 6 akan ditaksir melalui PBD.Para ibu  bapa dan penjaga,murid Tahun 6 tentu arif akan hal ini.

      Pun begitu hal utama  yang wajar difikirkan ialah pencapaian murid tahun 6 itu bergantung sepenuhnya kepada daya usaha murid tahun 6 itu sendiri.

       Selamat tinggal UPSR.Selamat datang PBD.



Wednesday, April 28, 2021

Alah Bisa,Tegal Biasa:PdPR Selepas Cuti Raya 2021

 



Sudah tentu PdPR ,menjadi satu cara menimba ilmu.Sejak Covid-19 melanda Malaysia,murid-murid sekolah dan pihak ibu bapa sudah biasa dengan PdPR.Oleh itu diharapkan murid-murid akan terus dapat menimba ilmu dan belajar ,walaupun tidak secara bersemuka.

           Merujuk paparan rajah di atas,pihak sekolah mempunyai masa untuk menyusun atau memilih cara yang sesuai bagi murid masing-masing dalam meneruskan  PdPR.Yang penting walaupun tidak bersemuka ,murid tetap  belajar.

           Pun begitu,menjadi harapan besar, peralatan belajar murid dapat diperkasakan,Pihak berwajib wajar mencari jalan agar semua murid di negara ini dapat mengikuti PdPR dengan selesa.Amatlah wajar,sekiranya setiap murid telah mempunyai peranti untuk mengikut sesi PdPR.

           

Sunday, April 11, 2021

Selamat Datang Ramadan yang Mulia.

 Insya-Allah ,detik Ramadan akan tiba, dan selamat berpuasa pada bulan Ramadan.Diharapkan Ramadan pada kali ini akan lebih memberikan kekuatan dan hikmah kepada kita.

  Salam Ramadan.Maaf dipinta.




Saturday, April 3, 2021

Dadah Musuh Negara Serantau.


 


Blogger berkesempatan mengikuti satu sesi webinar antarabangsa seperti papatan di atas.

Dapatlah disimpulkan bahawa dadah tidak mengenal apa,di mana dan siapa.Para ahli panel  telah berjaya membentangkan apa yang telah dilakukan dan akan dilakukan dalam mencegah gejala dadah ini .

      Syabas kepada para penganjur kerana webinar ini telah membuka ruang yang lebih luas dalam 'Pendidikan  Pencegahan Dadah.'


       Pengalaman tiga negara serantau ini dapat meningkatkan komitmen dalam mendidik generasi kini agar tidak terjebak dengan gejala dadah.


        Peranan setiap warga amat penting dalam 'Pendidikan Pencegahan Dadah ini.'


 

Tuesday, March 30, 2021

Selamat Belajar dalam Kebiasaan Baharu.


Secara sedar,semua pihak menyedari menjelang 5 April ini,semua murid sekolah  menengah akan belajar secara bersemuka di sekolah...Oleh itu amat wajar para ibu bapa/penjaga memastikan anak-anak mereka mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
   
    Sudah tentu pihak sekolah dan para ibu bapa/penjaga akan bekerjasama dalam memastikan setiap murid mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Antaranya ialah:

- memastikan anak/anak jagaan berada dalam keadaan

sihat, menjaga kebersihan diri dan tidak menunjukkan

gejala awal COVID-19 sebelum hadir ke sekolah;


- memastikan saringan demam serta gejala batuk,

selesema, sakit tekak dan sesak nafas dilakukan

terhadap murid, guru dan warga sekolah pada setiap

hari di pintu masuk sekolah sebelum sesi persekolahan

bermula. Jika mempunyai suhu badan melebihi 37.5°C

atau bergejala, mereka tidak dibenarkan masuk ke sekolah.


     Kesimpulannya kerjasama yang erat antara pihak sekolah dan  ibu bapa/penjaga dapat memastikan sesi persekolahan berjalan dengan lancar dan selamat.


*Selamat belajar dan selamat berpuasa di bulan Ramadan.

Saturday, March 20, 2021

Perlukah Murid Sekolah diberikan Bimbingan Tambahan ?

 



Perlukah anak anda mengikuti kelas tambahan.Jika perlu,bilakah masa yang paling sesuai utnuk mereka diberikan kelas tambahan?
       
     Jadual di atas berkaitan dengan perlukah anak anda diberikan bimbingan tambahan untuk mata pelajaran matematik?

     Anda juga boleh memilih tidak perlu kerana keputusan di tangan anak anda atau anda sendiri.

Jika difikirkan perlu,bila waktu yang sesuai anak - anak  anda diberikan bimbingan tambahan untuk mata  pelajaran matematik?

     Akhirnya  adakah anda mahu memberikan bimbingan tambahan itu melalui kelas tambahan yang berbayar, atau percuma,atau yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu? Yang penting usahlah memberikan tekanan kepada anak-anak anda untuk belajar,kasihan mereka,sudahlah belajar di sekolah,tiba-tiba perlu pula mengikuti  kelas tambahan,tentu anak anda akan rasa tertekan ?

     

Saturday, March 13, 2021

Apa Khabar Murid Tahun 6 2021.

 Murid Tahun 6 2021,tentu begitu gembira kerana dapat belajar  secara bersemuka sejak 8 Mac  lalu.Oleh itu sudah semestinya mereka sudah pun membuat pilihan hala tuju selepas tamat belajar di tahun 6,mereka mahu ke mana pula.


      Mereka perlu tahu,apa yang patut mereka kuasai dan apa pilihan mereka ,sama ada belajar di sekolah menengah harian biasa atau sekolah berasrama penuh atau sekolah-sekolah lain.


       Sepatutnya murid tahun 6 telah tahu apa yang patut mereka lakukan jika ada hati hendak belajar ke Sekolah Berasrama Penuh  atau Sekolah Rancangan Khas.

        Mereka wajar merujuk kepada guru Unit Bimbingan Kaunseling masing-masing.Sesungguhnya belajar di mana-mana pun sama sahaja,namun tidak salah jika mahu berasa belajar di sekolah berasrama penuh.Pilihan itu di tangan murid tahun 6 itu sendiri.

Tuesday, February 9, 2021

Selamat Menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.


 

Salam sejahtera,pada kesempatan ini Biro Badan Betindak Gpms Sitiawan mengucapkan 'Selamat Menduduki Peperiksaan SPM kepada calon-calon SPM yang bakal mengambil peperiksaan ini yang bermula pada 22 Februari 2021.

      Diharapkan para calon dapat menjawab soalan dengan tenang,baca soalan dengan teliti dan menjawab mengikut kehendak soalan.

      Biro Badan Bertindak Gpms Sitiawan menndoakan anda semua dapat menduduki peperiksaan dengan tenang,yakin dan bertawakal.

Wednesday, January 27, 2021

Organisasi Belia Sewaktu PKP 2.0

 Tanpa menyatakan data-data tertentu,sudah semestinya terdapat jumlah yang agak besar yang menjadi ahli persatuan atau ahli dalam organisasi belia.Melalui pertubuhan belia masing-masing, tentu banyak aktiviti yang telah dilakukan pada ketika ini,aktiviti yang menjurus kepada kebiasaan baharu.


      Pun begitu,dalam menoleh bidang pekerjaan, situasi kerjaya para belia,sukar untuk diterjemahkan,apakah status yang para  belia hadapi ketika ini.Adakah ahli belia sudah arif mengenai 'ekonomi digital.'

       Namun kini ruang pekerjaan di bidang 'penghantaran makanan dan barangan sudah boleh menjadi punca mencari wang saku para belia.

       Justeru itu,sudah menjadi kebiasaan setiap pertubuhan belia akan mengadakan pelbagai program di atas talian dalam memberikan input-input yang bermanfaat kepada ahli persatuan masing-masing.


Bagaimanakah dengan anda, anda ahli persatuan belia?

Friday, January 8, 2021

Anda telah Bersedia untuk Sesi Persekolahan 2021.

Cuti persekolahan akan berakhir tidak beberapa lagi lama lagi.Diharapkan semua murid telah bersedia untuk hadir dan belajar bersemuka di sekolah masing-masing.
     Bagi yang melangkah ke Tahun 1,selamat belajar dan mengikuti Program Transisi.Untuk pelajar  tingkatan  5 tahun 2021,selamat mantapkan persediaan  menghadapi peperiksaan SPM format baharu.

     Justeru itu para ibu bapa dan  penjaga, tentu telah memahami akan situasi yang bakal ditempuhi pada sesi persekolahan tahun 2021.

      Selamat Belajar.

Saturday, January 2, 2021

Calon-Calon SPM,Tekadkan Azam.

Rajah 1

                                                              

Kini awal Januari 2021 telah pun melangkah detik-detik waktu.Diharapkan calon-calon SPM tahun 2020 telah pun bersedia untuk menghadapi peperiksaan SPM nanti.

                Berat mata memandang berat lagi bahu memikul,namun setiap calon SPM ada matlamat masing-masing.

                Berdasarkan rajah 1,cuba tuliskan sebuah karangan yang panjangnya antara 15 hingga 30 patah perkataan atau nyatakan perasaan anda ketika melihat rajah 1 itu?


BBBBGPMSSITIAWAN mendoakan kejayaan anda.

Ibu Bapa Perlu Pastikan Anak Hadir ke Sekolah Sepenuhnya.

 👉Kehadiran penuh ke sekolah amat penting dalam membantu murid-murid menguasai setiap mata pelajaran yang dipelajari. 👉Anak-anak yang gaga...