Sunday, June 20, 2021

Sebuah Coretan pena daripada Dr.Chubby Comot

 Berikut dikongsikan sebuah kiriman cerpen yang mengisahkan pengalaman penulis dalam mengikuti kursus yang dilaksanakan oleh Gpms Perak.Tentu Tuan Tam ingat akan  penulis ini,cuma saya tidak dapat mencari satu foto sewaktu berkayak dalam program Rentas Selat  Dinding 1.

     Namun dalam perkongsian ini penulis menyatakan tentang Lata Kekabu,tentu ada yang masih ingat tentang program di Lata Kekabu.Terima kasih kepada penulis kerana sudi berkongsi coretan  untuk tatapan para pembaca.


                                                       -foto penulis-


“Saya bilang dalam kiraan sepuluh, semua peserta perlu berada di tempat perhimpunan dengan lengkap berpakaian sukan”

 

10...

 

9..

 

8..

 

7..

 

Keletap keletuppp!!

 

Bertempiaran bunyi tapak kaki peserta kursus berlari menuju tempat berhimpun, semua berharap sempat berhimpun dalam kiraan komander kursus perkaderan GPMS sekitar tahun 1999 di Institut Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Kg Rahmat Batu Gajah Perak.

 

GPMS bukanlah gagasan asing dalam hidup aku, kerana mama aku juga pernah melalui PENGKADERAN GPMS di Universiti Malaya sekitar tahun 1978.

 

Terngiang-ngiang kata-kata mama semasa menghantar aku mendaftar di Universiti Malaya untuk pengajian Sarjana Muda Pembedahan Pergigian.

 

“Pertama kali mama jejakkan kaki di UM ini semasa mama dapat ikut Kursus Pengkaderan GPMS, mama berkesempatan jumpa dengan NORDIN KARDI, mama juga menyanyikan lagu, Anak Kecil Main Api.”

 

Begitulah.

 

Lain benar gaya penyampaian komander kali ini, berat pula provokasi yang dilontarkan.

 

Dentum kata hati aku.

 

Sejak aku menghadiri KURSUS JATI DIRI di Lata Kekabu anjuran GPMS Negeri Perak semasa cuti sekolah, ketika aku di tingkatan 4, aku seolah-olah mengikatkan diri menjadi KADER pada setiap hujung minggu disitu bersama aktiviti sukarelawan untuk seminar peperiksaan percuma yang bermisikan PENDIDIKAN.

 

“Anak-anak melayu ini pemalas, tak sedar diri. Hanya mengharapkan duit subsidi. Anak melayu tak ada masa depan.” Komander terus memprovokasikan kami semua.

 

Ewah!! Lebih sangat dah komander ini, apa dia ingat kami anak melayu tak ada perasaan.

 

Dalam ketaksetujuan aku bangun dan aku angkat tangan sambil aku jerit.

 

“Bantahan!!!”

 

“Saya tak setuju.”

 

“Awak siapa nak degil lawan cakap saya, awak bangun pergi hujung sana sekarang.” Arah komander dan aku akur.

 

Provokasi demi provokasi diteruskan hingga selesai. Kewajaran demi kewajaran didedahkan supaya difahami nilai dari perhimpunan provokasi itu tadi.

 

Maka aku simpulkan bahawa anak melayu zaman dahulu terlalu tebal rasa hormat mereka.

 

Jika diperhatikan, ada kebenarannya. Remaja dahulu diasuh dan dididik dengan sifat sopan santun yang sangat tinggi. Ini termasuklah dari sudut penggunaan bahasa yang keluar dari mulut mereka.

 

Hendak dibandingkan dengan remaja sekarang, penggunaan bahasa tidak dijaga dengan baik. Bahkan, ada yang berani mengeluarkan kata-kata kesat kepada orang yang lebih tua dari mereka. Bercakap dengan mereka yang lebih berumur seperti rakan-rakan dan tiada sopan santunnya.

 

Berbanding pelajar zaman dahulu, mereka lebih berasa kepayahan untuk menimba ilmu. Dengan keadaan yang serba kekurangan itulah mereka berusaha sedaya upaya, mengerah akal fikiran, memperbanyakkan bahan bacaan, dan ada yang perlu berjalan kaki atau menaiki basikal semata-mata untuk menyiapkan suatu tugasan.

 

Begitulah antara beberapa perbezaan yang ketara antara remaja dahulu dan sekarang. Sungguhpun begitu, segalanya bergantung kepada remaja itu sendiri dalam membawa hala tuju dan diri mereka.

 

Semakin moden zaman itu, maka semakin mencabarlah kehidupan yang dilalui. Justeru itu, peredaran zaman tersebut seharusnya diambil sebagai suatu peluang dan dimanfaatkan untuk tujuan kebaikan.

 

“Dunia ini hanya terdiri atas tiga hari, iaitu kelmarin, ia telah pergi bersama dengan semua yang menyertainya. Esok, engkau mungkin tidak akan menemuinya. Dan, hari ini itulah apa yang engkau miliki.

 

Oleh itu, beramallah untuk bekalan di sana nanti.”

 

Belajar terus belajar.

 

Walahualam.

 

      Dr .Chubby Comot—


No comments:

Post a Comment

Adakah Anak Anda Membaca Buku?