Wednesday, May 19, 2010

DEB dan MEB


MEB perlu kajian lebih terperinci .

2010/05/19(Berita Harian)

KERANGKA kerja Model Ekonomi Baru (MEB) yang baru dibentangkan Perdana Menteri pada penghujung Mac lalu mendapat pelbagai reaksi dari banyak pihak terutama dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu.

Reaksi ini disebabkan mereka tidak jelas misi dan visi bagi pembangunan masyarakat Melayu secara keseluruhannya dan pelbagai andaian jelas menidakkan hak Melayu serta memburukkan Dasar Ekonomi Baru (DEB). DEB dikatakan menjadi punca utama ekonomi negara tidak boleh berdaya saing dan berkembang dengan pesat.
Bagaimanapun, sepanjang pelaksanaannya DEB bukan saja membantu kaum Bumiputera dan dengan tepat orang Melayu, malah ia juga memberikan manfaat pada kaum lain seperti Cina dan India di negara ini. Jika dilihat sepanjang 10 tahun dari 1987 hingga 1997 pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat setiap tahun sebanyak lapan peratus berbanding dari jangkaan asal sekitar tujuh peratus.
Selain itu, agenda pembangunan masyarakat Melayu juga tidak jelas, asas kepada pengukuhan ekonomi dengan meletakkan landasan ekonomi yang dipacu oleh sektor swasta juga semacam ada kepincangannya.

Beberapa negara lain yang menggunakan pendekatan itu menunjukkan kegagalan dalam struktur ekonomi mereka antaranya Sepanyol, Itali, Portugal dan beberapa negara lain. Krisis ekonomi di Amerika Syarikat juga membuktikan ekonomi secara terbuka diibaratkan sebagai bom jangka yang mengancam kestabilan negara.

Jika diimbau tragedi berdarah 13 Mei 1969, ia berlaku kerana masalah ketidakseimbangan ekonomi di antara kaum. Isu kemenangan tipis pilihan raya hanya isu kecil penyebab kepada rusuhan kaum yang berlaku. Persoalannya apakah ia akan berulang? Ia mungkin akan berulang jika tiada tindakan pencegahan serta pelaksanaan yang betul dijalankan.

Saranan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Konvensyen Usahawan Melayu yang dianjurkan oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia pada 14 Mei lalu adalah cadangan amat baik.
Masyarakat Melayu sebagai kaum majoriti di negara ini sebenarnya masih teraba-raba dan samar-samar dengan tujuan dan kedudukan mereka. Jika dilihat kerangka kerja MEB sememangnya satu dasar dan cadangan yang baik, akan tetapi hala tuju orang Melayu seakan-akan tidak diambil peduli.

Sehubungan itu, penangguhan MEB ini perlu bagi memastikan satu kajian terperinci dibuat secara ilmiah bagi menentukan sejauh mana DEB benar-benar menggugat pembangunan ekonomi negara. Selain itu, penjelasan serta cadangan dan pandangan dari seluruh NGO Melayu amatlah diperlukan bagi memastikan agenda pembangunan negara tidak meminggirkan kepentingan orang Melayu.

Sekilas pandang, MEB ini seolah-olah hanya memenangkan sesuatu pihak dan kerajaan seakan terdesak bagi melaksanakan MEB. Jika diteliti secara terperinci mereka yang menjadi pemikir serta merangka MEB ini semacam tidak mempunyai semangat Melayu dan hilang ke Melayuannya.

Kesempatan ini juga diambil oleh pihak yang tidak bertanggungjawab memainkan isu berbau perkauman dengan memberi alasan ia berkonsepkan 1Malaysia. Secara keseluruhannya 1Malaysia disalah tafsir sebagai memberikan hak sama rata semua kaum.

Sedangkan 1Malaysia adalah agenda perpaduan nasional supaya seluruh warga Malaysia diperkenalkan dengan satu identiti Malaysia bukan lagi Cina, India dan Melayu. Hak serta keistimewaan orang Melayu jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menidakkan hak keistimewaan orang Melayu seperti yang dilaung oleh banyak pihak terutamanya NGO bukan Melayu adalah satu tindakan provokasi yang melampau. Mereka ini dengan jelas melanggar perlembagaan negara, dengan itu mereka juga boleh dikatakan sebagai pesalah dan perlu diberikan hukuman.

Saranan dibuat oleh Dr Mahathir yang sudah memerintah lebih 20 tahun ini perlu diberikan perhatian serius. Kebimbangan mengenai sokongan Melayu terhadap parti memerintah juga wajar diberikan pertimbangan serta nasib Melayu yang menjadi penduduk majoriti yang masih lagi memerlukan tongkat kerajaan harus dipandang serius.

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Cawangan Bagan Datoh amat menyokong saranan itu demi memastikan pembangunan orang Melayu terus terbela dan tidak seperti pepatah ‘itik di air mati kehausan, ayam di kepuk mati kelaparan’ serta ‘kera di hutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan’.
MOHAMAD ASRI SHAFII,
Yang Dipertua GPMS
Cawangan Bagan Datoh,
Perak Darul Ridzuan.

-DEB merupakan mekanisme penjanaan ekonomi dan kesejahteraan negara,MEB satu pendekatan yang baik,namun pastikan ianya dilaksanakan tanpa ada unsur-unsur ketirisan.-(ulasan blogger)


No comments:

Post a Comment

Ibu Bapa Perlu Pastikan Anak Hadir ke Sekolah Sepenuhnya.

 👉Kehadiran penuh ke sekolah amat penting dalam membantu murid-murid menguasai setiap mata pelajaran yang dipelajari. 👉Anak-anak yang gaga...