ARKIB : 26/11/2009(Utusan Malaysia)
Catatan nostalgia tentang GPMS
Keluarga GPMS mestilah maklum
Pesanan Aminuddin Baki masa silam
Jangan sampai itik di air mati tak minum
Jangan sampai ayam di kepok mati tak makan
CABARAN dan dugaan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) akan beralih mengikut zaman dan keadaan, tetapi nawaitu dan matlamat perjuangan tetap tak akan berubah iaitu "untuk melihat anak bangsa berada di tahap pendidikan yang tinggi." Itulah inti sari ucapan Datuk Seri Reezal Merican di atas pentas Dewan Seri Budiman kampus induk UiTM Shah Alam, pagi Sabtu minggu lalu.
Walau pun tidak disebutnya secara eksplisit, keseluruhan "ucapan dasar presiden" yang disampaikan sempena persidangan agung tahunan ke-55 itu, mengingatkan bahawa "strategi boleh (malah perlu) berubah, tetapi matlamat jangan dikompromi."
Namun di sebalik ucapan Reezal yang berkobar-kobar itu beliau tidak dapat menyembunyikan kebimbangan dan keprihatinannya terhadap pelbagai cabaran dan dugaan hebat yang dihadapi oleh GPMS dan bangsa Melayu keseluruhannya. Ini termasuklah cabaran memperkasa organisasi dan kepimpinan dan penjanaan pelbagai sumber yang diperlukan GPMS untuk mencapai matlamat.
Tetapi tidak kurang hebatnya ialah cabaran menghadapi pihak-pihak lain yang menghalang matlamat perjuangan GPMS. Secara khusus beliau menyatakan rasa kesal terhadap "suara-suara rasisme yang masih enggan menerima asas keperluan kewujudan sekolah satu aliran." Beliau juga menyebut keengganan (kedegilan dan keangkuhan?) pertubuhan Cina Dong Zhong dan Hua Zong yang menolak dan cuba hendak menggagalkan usaha Kementerian Pelajaran menyeragamkan silibus bahasa Melayu untuk semua sekolah termasuk penyeragaman soalan UPSR bahasa Melayu.
Ucapan tersebut didengar oleh lebih 400 orang keluarga GPMS yang masih menjadi pelajar atau mahasiswa dan pemimpin-pemimpin lama GPMS yang sudah bersara, termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Abdullah Ayub, salah seorang pengasas dan bekas presiden GPMS.
Sambil mendengar ucapan Reezal yang berkobar-kobar itu, dalam kepala saya terbayang wajah tokoh-tokoh tertentu dan peristiwa-peristiwa masa lalu yang ada kaitannya dengan GPMS dan perjuangan bangsa Melayu. Teringat juga satu petikan daripada ucapan mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi: "GPMS adalah satu bentuk gerakan nasionalisme Melayu di bidang pelajaran."
Ingatan kepada Tun Abdullah sebagai seorang mantan presiden GPMS diikuti oleh ingatan kepada seorang mantan presiden yang lain iaitu Allahyarham Ali Ahmad yang kemudian juga memegang jawatan tinggi dalam UMNO dan seorang menteri Kerajaan Pusat.
Seiring dengan itu teringat pula beberapa orang mantan pemimpin GPMS yang lain yang kemudian menganggotai parti-parti oposisi, seperti Dr. Syed Husin Ali dan Dr. Sanusi Osman yang pernah memegang jawatan pimpinan tertinggi Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) dan kemudian Parti Keadilan Rakyat (PKR). Begitu pula Subky Latiff dan kekandanya Allyarham Baharuddin Latiff yang pernah menjadi tokoh-tokoh utama Pas.
Saya merujuk nama-nama tokoh politik tersebut sekedar untuk memberi gambaran ringkas betapa GPMS telah melahirkan (menjadi tapak latihan berorganisasi) tokoh-tokoh pemimpin Melayu daripada pelbagai aliran politik. Kerana itu dengan berkias kita boleh mengatakan bahawa semua parti politik Melayu (baik Pas mahu pun PKR dan lebih-lebih lagi UMNO) secara langsung atau secara tidak langsung berhutang budi kepada GPMS. Dan untuk membalas budi, semua parti politik tersebut mempunyai tanggungjawab moral memastikan GPMS kekal wujud dan melaksanakan tanggungjawab secara berkesan dan produktif.
Terus terang, saya tidak dapat mengelakkan diri daripada bernostalgia bila menulis atau berbicara tentang GPMS. Dan kehadiran saya dalam perhimpunan di kampus induk UiTM Shah Alam itu menyalakan kembali api nostalgia tersebut dan seiring dengan itu saya menyedari bahawa secara langsung atau tidak langsung, saya juga banyak terhutang budi kepada organisasi yang memang banyak berjasa kepada bangsa Melayu ini.
Pertama kali saya menghadiri persidangan agung tahunan GPMS ialah pada Disember 1959 di Sekolah King George V, Seremban. Di sanalah untuk pertama kali saya menatap wajah Allahyarham Aminuddin Baki. Di sana jugalah saya berkenalan dan memulakan persahabatan dengan Abdullah Ahmad Badawi (sekarang Tun). Saya juga teringat pertama kali berkenalan dengan seorang pembaca sajak yang terkenal pada masa itu yang bernama Kalam Hamidi. Juga pertama kali bertemu dan berkenalan dengan penyair Badaruddin HO dari Brunei dan gadis Singapura yang kemudian menjadi isterinya penyair Maimoonah Omar.
Lima puluh tahun kemudian, hari Sabtu minggu lalu, 21 November 2009, saya berpeluang hadir pula persidangan agung tahunan GPMS yang ke-55 dan dapat bertemu kembali dengan beberapa orang kawan lama. Sepanjang 50 tahun masa terentang antara 1959 dan 2009 itu saya tetap merasa bahawa GPMS adalah sebahagian daripada hidup saya.
Seperti ramai yang lain, GPMS memberi saya ruang dan peluang untuk menggunakan zaman remaja dengan penuh manfaat. GPMS adalah tempat saya belajar dan bermain, tempat saya berlatih berpidato dan berbahas, tempat bermesra dengan sastera dan menghayati warisan seni, tempat saya jatuh cinta beberapa kali, tempat bermesra dan berkelahi, tempat menjalin persahabatan yang akrab dengan rakan-rakan daripada pelbagai aliran politik. Dan lebih penting lagi GPMS adalah tempat saya belajar berorganisasi dan tempat saya memupuk semangat patriotisme. Saya percaya hal yang sama dirasakan juga oleh rakan-rakan seangkatan saya, begitu juga oleh angkatan-angkatan sebelum dan sesudah saya.
Demikianlah selama lebih setengah abad, GPMS berfungsi sebagai agen sosialisasi membentuk watak, sikap dan pemikiran angkatan demi angkatan bangsa Melayu. Peranan GPMS sebagai "satu gerakan nasionalisme Melayu di bidang pendidikan" sekarang bertambah dengan peranan yang tidak kurang beratnya.
Presidennya yang baru, Jais Abdul Karim mempunyai tanggungjawab tambahan menjadikan GPMS sebagai satu NGO Melayu yang berwibawa dan bertaring. Keangkuhan dan keengkaran Dong Zhong dan Hua Zong perlu dibendung.
Datuk Dr. Firdaus Abdullah ialah Pakarunding di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya
Sejak Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung ditubuhkan sebagai sebuah badan belia yang menjurus kepada pendidikan anak-anak Melayu,penggeraknya disebut dengan nama seperti gurkha,dan kini gurkha diganti dengan nama Biro Badan Bertindak GPMS.(BBBGPMS).Lantaran itu blog bbbgpms ini bukanlah semestinya pendirian Gpms, Gpms Perak,ia hanyalah cetusan rasa ahli bbb itu sendiri.Bahkan Blog BBB Gpms Sitiawan juga bukan bermakna ada kaitannya dengan Gpms Sitiawan.
Saturday, December 5, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Ketemu lagi UASA 2024/2025
Adakah anda telah bersedia untuk menduduki Ujian Akhir Sesi Akademik 2024/2025? JIka belum,segeralah membuat latihan dan ulang kaji mata ...
-
Kes buli seperti tidak berkesudahan.Mengapa terjadi,tunggu siasatan terperinci.Molek juga peraturan penggunaan seterika disemak semula ber...
-
YAB TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN PERDANA MENTERI MALAYSIA KE-8 Syabas dan tahniah,didoakan agar YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin Perdana...
-
Kemahiran Dwibahasa antara aspirasi murid yang termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Oleh itu aktiviti lis...
No comments:
Post a Comment